Friday 3 June 2011

Lawatan dari Woodgrove Primary School Singapore [3rd Day - Last Day]

Hari terakhir lawatan dari Woodgrove Primary School diisi dengan aktiviti membaca Surah Yasin beramai-ramai di dewan sekolah. Selepas itu, murid-murid dan guru-guru dipelawa untuk menyertai perlawanan bola jaring (Netball) bersama-sama dengan ahli pasukan bola jaring sekolah dan pasukan bola jaring guru-guru.

Aktiviti diteruskan dengan persembahan tarian tradisional dan drama lakonan Sultan Bolkiah tercucuk jarum emas yang dipersembahkan oleh murid-murid Sekolah Rendah Amar Pahlawan. Murid-murid dari Woodgrove Primary School juga tidak ketinggalan untuk mempersembahan sebuah drama lakonan yang berkisar tentang Hikayat Hang Nadim, seorang kanak-kanak pintar yang dijatuhi hukuman bunuh setelah berjaya menyelamatkan Singapura dari serangan ikan todak.

Acara diteruskan lagi dengan persembahan tarian tradisional yang disertai oleh murid-murid dan guru-guru  serta tetamu-tetamu dari Woodgrove Primary School. Setelah selesai acara, semua warga sekolah, murid-murid dan guru-guru dari Woodgrove Primary School dihidangkan dengan juadah makan tengahari. Tetamu-tetamu dapat merasa makanan tradisi Negara Brunei Darussalam iaitu 'Ambuyat'. Sebelum berangkat meninggalkan Sekolah Rendah Amar Pahlawan, murid-murid dan guru-guru bertukar-tukar alamat emel untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara dua sekolah.   ^_^

No comments:

Post a Comment